KLANG 8 Mei – Sebanyak 44 daripada 65 kawasan di Klang yang terjejas dengan gangguan bekalan air sejak Sabtu lepas mula pulih secara berperingkat setakat pukul 4.00 petang ini.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Ir Izham Hashim berkata baki 21 lagi kawasan yang turut terjejas dijangka menerima air secara berperingkat mulai pagi esok dan gangguan bekalan itu akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam lagi.
Katanya, dua kolam takungan air di kawasan terjejas iaitu Kolam Takungan Air Lipat Kajang sudah mula beroperasi untuk mengagih air kepada pengguna di 45 lokasi manakala Kolam Takungan Air Bukit Raja yang menampung 20 kawasan sedang dipenuhkan.
“Walaupun daripada pagi tadi ada berlaku sedikit pergerakan tanah di lokasi paip pecah itu tapi kita dapat uruskan dengan baik dengan mengambil langkah-langkah yang perlu maka bekalan air sedang mula pulih.
“Namun kita tetap teruskan agihan air melalui lori-lori tangki ke seluruh kawasan terlibat dan langkah ini dibuat melalui pusat khidmat setempat (PKS),” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKS Taman Rakyat, di sini hari ini. – BERNAMA











