FGV kenal pasti 10 syarikat bukan teras - Utusan Malaysia

FGV kenal pasti 10 syarikat bukan teras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – FGV Holdings Bhd. akan mempertimbangkan untuk melupuskan beberapa lagi syarikat bukan teras di bawah­nya sejajar dengan pelan transformasi syarikat yang bermula sejak Oktober 2018.

Ketika ini, FGV mempunyai 100 syarikat dengan 93 daripadanya masih aktif dan ber­operasi, walaupun terdapat beberapa daripada syarikat itu tidak menguntungkan atau ­diurus dengan baik.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, adalah penting kepada FGV memberi fokus kepada syarikat yang strategik dan bersesuai­an dengan pelan transformasi kumpulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Untuk itu katanya, FGV telah mengenal pasti lebih daripada 10 anak syarikat di bawahnya yang bukan perniagaan teras.

“Selepas mengenal pasti syarikat-syarikat ini, kita akan buat pertimbangan sewajarnya. Cuma kaedahnya sama ada ditutup, bubar, jual atau sebaliknya akan ditentukan kemudian dengan mengambil kira ke­adaan ekonomi semasa dan juga pekerja.

“Kita menjangkakan langkah ini dapat diselesaikan dalam tempoh 18 bulan dan dibuat secara berperingkat-­peringkat,” kata­nya di sini baru-baru ini.

Dua minggu lalu, FGV me­ngumumkan pembubaran dua anak syarikatnya, Felda Engineering Services Sdn. Bhd. (Felda Engineering) dan Felda Properties Sdn. Bhd. (Felda Properties) melibatkan 135 pekerja.

Felda Engineering dan Felda Properties diperbadankan masing-masing pada 1994 dan 1995 bagi menyokong projek pe­rumahan dan pembinaan untuk Felda.

Menurut FGV, Felda Engineering, sebuah syarikat pe­ngurusan projek, mahupun Felda Properties tidak melaksanakan begitu banyak kerja di luar Felda atau FGV.

Jelas Azhar, sebelum langkah itu dibuat, FGV terlebih dahulu membuat tawaran kepada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan juga Felda tetapi tiada sebarang kata putus dicapai selepas setahun.

“Jadi, kita buat keputusan itu (bubarkan). Selepas ini mana-mana anak syarikat yang tidak sesuai dengan perniagaan teras kita, akan dibuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2018, FGV mencatat kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion berbanding keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM403 juta pada tahun sebelumnya. Ini sebahagian besar disebabkan rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.038 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini