MADRID 10 Mei – Roger Federer menundukkan Gael Monfils 6-0, 4-6, 7-6 (7/3) untuk mara ke suku akhir Terbuka Madrid.
Ini merupakan perlawanan kedua, Federer di gelanggang tanah liat tahun ini selepas tiga tahun menyepi menyaksikan dia memerlukan dua jam untuk menundukkan pemain Perancis, Monfils.
Federer mengakui dia terpaksa bekerja keras untuk mengatasi Monfils yang merupakan pilihan ke-15 sebelum merakam kemenangan ke-1,200 dalam kariernya.
“Saya mengalami kesukaran apabila kalah lima game lewat set kedua dan awal set ketiga.
“Ia saat yang amat menggusarkan. Kini saya berjaya melepasinya, saya amat teruja dengan kemenangan ini,” kata juara Grand Slam 20 kali itu yang akan berdepan pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem bagi memburu tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, pemain nombor satu wanita dunia dan pilihan utama Naomi Osaka tersungkur di tangan rakan senegara Federer dari Switzerland, Belinda Bencic apabila kalah 6-3, 2-6, 5-7.
Belinda turut menundukkan pemenang dua gelaran Grand Slam itu pada Mac lalu di Indian Wells.
Pilihan kedua dari Czech, Petra Kvitova, juara bertahan turut mengalami kejutan apabila tumpas 2-6, 3-6 di tangan Kiki Bertens, pilihan ketujuh dari Belanda yang muncul naib juara pada 2018.
Pilihan utama kategori lelaki, Novak Djokovic bagaimanapun mudah ke suku akhir apabila membenam Jeremy Chardy 6-1, 7-6 (7/2) manakala juara lima kali Rafael Nadal menyingkirkan Frances Tiafoe 6-3, 6-4.
Nadal akan berdepan Stanislas Wawrinka selepas pemain Switzerland itu melengkapkan hatrik negaranya dengan menundukkan pilihan ketujuh dari Jepun, Kei Nishikori 6-3, 7-6 (7/3).- AFP











