MADRID 8 Mei – Roger Federer membuat kemunculan pertama di gelanggang tanah liat selepas tiga tahun dengan bergaya apabila menumbangkan Richard Gasquet 6-2, 6-3 dalam pusingan awal Terbuka Madrid, hari ini.
Pemenang 20 kali Grand Slam itu hanya memerlukan tempoh 52 minit untuk menyingkirkan Gasquet, dengan mengakui terpaksa mengawal emosi ketika sesi mengatur strategi bersama pasukannya.
“Pada mulanya saya amat tenang sepanjang hari, namun dua jam sebelum bermula, saya agak beremosi sedikit. Tetapi ia hanya seketika.
“Perasaan gementar itu datang secara tiba-tiba. Apapun saya sungguh gembira kerana dapat memulakannya dengan baik.
“Saya amat berbangga dapat muncul semula (di gelanggang tanah liat),” kata juara tiga kali Terbuka Madrid itu, yang kali terakhir bermain di gelanggang tanah liat tiga tahun lalu, di mana dia tewas kepada Dominic Thiem di Roma dalam pusingan ketiga pada 12 Mei 2016.
Federer kemudian meninggalkan gelanggang tanah liat untuk selama dua musim penuh bagi menumpukan perhatian kepada gelanggang rumput dan memenangi Wimbledon pada 2017. Dia pernah menjulang trofi kemenangan di Madrid pada 2006, 2009 dan 2012.– AFP











