Ekonomi perlu kestabilan harga - Utusan Malaysia

Ekonomi perlu kestabilan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Secara dasarnya, apakah penunjuk sebenar berlakunya deflasi?

KUALA LUMPUR 09 MARCH 2017. Senior Research Fellow of Malaysian Institute of Economic Research, Dr. Zulkiply Omar. NSTP/SADDAM YUSOFF

Deflasi atau pertumbuhan negatif paras harga umum yang diukur melalui CPI berlaku pada dua bulan pertama tahun ini disebabkan kelemahan kedua-dua faktor tarikan permintaan dan tolakan kos.

Memuatkan artikel berkaitan…

Permintaan domestik untuk suku pertama tumbuh dengan perlahan. Ini terbukti dengan kelemahan pertumbuhan wang untuk Januari dan Februari. Ini bermakna permintaan untuk wang berkurangan oleh kerana kelemahan aktiviti ekonomi. Pada masa sama, jumlah pinjaman yang diluluskan dan dikeluarkan oleh sistem perbankan juga menurun.

Dari sudut penawaran pula, kos pengeluaran juga lebih murah terutama disebabkan harga minyak yang lebih rendah pada masa itu. Ini terbukti dengan penurunan indeks pengangkutan dalam IHP sebanyak 7.8 peratus dan 6.8 peratus masing-masing untuk Januari dan Februari.

Ia turut diterjemahkan kepada pertumbuhan negatif Indeks Harga Pengeluar sejak hujung suku keempat tahun lepas hingga ke suku pertama tahun ini. Penurunan harga pengeluar nam­paknya diturunkan kepada pengguna dalam persekitaran permintaan yang lemah.

Apa yang kita perlukan, ­deflasi atau inflasi?

Apa yang diperlukan oleh ekonomi adalah kestabilan harga. Deflasi adalah tidak baik kerana menunjukkan kelemahan permintaan. Apabila permintaan lemah, pengeluar terpaksa mengurangkan pengeluaran. Ini seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi yang lembap dan mungkin menyebabkan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan atau peningkatan pe­ngangguran.

Inflasi terlalu tinggi pula melemahkan permintaan kerana pengguna akan mengurangkan perbelanjaan disebabkan kuasa beli wang menurun. Ini sete­rusnya melemahkan pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini juga memaksa pengeluar mengurangkan pengeluaran.

Kesimpulannya, paras harga dalam ekonomi perlu terkawal supaya ia stabil pada paras pertumbuhan yang tidak terlalu tinggi. Kebiasaannya, kebanyakan negara maju me­nyasarkan pertumbuhan kadar inflasi sekitar dua peratus menggunakan instrumen kewangan oleh bank pusat.

BNM menyatakan sebelum ini, Malaysia tidak mengalami deflasi tetapi dalam laporan-laporan analisis masih menyebut Malaysia mengalami deflasi selama dua bulan. Boleh Dr. jelaskan situasi ini?

Deflasi merupakan keadaan di mana pertumbuhan paras harga adalah negatif. Namun, keadaan deflasi tersebut tidak melibatkan penurunan harga semua barangan dan perkhidmatan. Jika ini berlaku ia boleh menyebabkan kesan lebih meluas terhadap kelemahan ekonomi. Dalam situasi semasa, deflasi disebabkan oleh komponen indeks bukan teras ter­utama pengangkutan.

Tetapi indeks teras masih me­nunjukkan peningkatan positif. Untuk Januari dan Februari, indeks teras memberi sumbangan positif masing-masing dengan 0.2 dan 0.3 mata peratusan kepada pertumbuhan CPI. Bagaima­napun, kelemahan pertumbuhan harga masih perlu dibimbangkan kerana ia boleh melemahkan pertumbuhan ekonomi.

Ini kerana ekonomi memerlukan rangsangan untuk me­ningkatkan permintaan domestik. Antaranya, BNM menurunkan kadar OPR baru-baru ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Data menunjukkan Semenanjung Malaysia merekodkan kenaikan harga pada Mac tetapi hanya empat negeri (Selangor & Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan) sahaja merekodkan inflasi di atas paras nasional manakala negeri lain merekodkan inflasi di bawah paras nasional (atau masih mengalami deflasi) termasuk Sabah dan Sarawak. Kenapa?

Data CPI untuk Mac menunjukkan perbezaan kadar inflasi antara negeri dipengaruhi oleh indeks makanan dan minuman bukan alkohol. Negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan indeks makanan dan minuman bukan alkohol yang tinggi menyebabkan peningkatan ke­seluruhan indeks CPI yang tinggi dan sebaliknya. Keadaan ini sudah tentu dipengaruhi keadaan permintaan dan penawaran yang berbeza mengikut lokasi.

Dilaporkan syarikat mula mengecilkan saiz operasi yang turut menyaksikan ramai pekerja akan hilang pekerjaan. BNM pula mengurangkan OPR bagi merangsang ekonomi. Adakah ia menunjukkan ekonomi dalam keadaan baik atau sebaliknya?

Keadaan ekonomi secara umumnya adalah lemah dipe­ngaruhi oleh kelemahan kedua-dua permintaan domestik dan antarabangsa. Langkah BNM mengenakan dasar kewangan pengembangan adalah merupakan kaedah biasa yang diamalkan oleh mana-mana bank pusat untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Keadaan ekonomi secara keseluruhannya masih baik kerana setakat ini masih merekodkan pertumbuhan positif. BNM tidak perlu menunggu keadaan kemelesetan ekonomi untuk mengaplikasikan dasar kewangan pengembangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini