TAPAH 15 Mei – Dua maut setelah kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 52.8, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, Cheong Shaun Wei, 36, dan rakannya, Yow Xue Yei, 30, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Bidor menghala ke Kampar.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan tersebut dipercayai bertembung dengan lori tangki dipandu lelaki berusia 28 tahun yang berada di laluan bertentangan.
“Lori tangki itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kereta tersebut. Akibat perlanggaran itu kereta berkenaan berpusing beberapa kali dan jatuh ke dalam parit di tepi jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang kereta berkenaan cedera parah dan maut di tempat kejadian. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospitak Tapah untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











