BUTTERWORTH 25 Mei – Dua lelaki disyaki penagih dadah ditahan polis dalam satu serbuan di Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, polis turut menjumpai sejumlah dadah berada dalam simpanan suspek berusia 26 dan 23 tahun itu.
“Hasil pemeriksaan di lokasi telah menjumpai sebanyak 20 gram dadah disyaki heroin dan sebanyak 0.3 gram disyaki syabu bernilai RM1,000.
“Tangkapan dan rampasan barang kes dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu adalah untuk kegunaan sendiri. – UTUSAN ONLINE











