ROMA 16 Mei – Pilihan utama, Novak Djokovic menempah tiket ke pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka Itali, hari ini, setelah mencatat kemenangan straight set ke atas pencabar dari Kanada, Denis Shapovalov.
Pemain No. 1 dunia dari Serbia itu, yang menjuarai Terbuka Madrid, hujung minggu lepas, meraih kemenangan 6-1, 6-3 dalam tempoh 66 minit.
Djokovic, 31, pemenang empat kali Terbuka Itali, akan turun beraksi menentang sama ada pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber ataupun wakil Itali, Marco Cecchinato bagi merebut slot ke suku akhir.
Sementara itu, juara bertahan, Rafael Nadal hanya tewas dalam satu game sewaktu dia membenam pemain Perancis, Jeremy Chardy menerusi kemenangan straight set untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga.
Juara lapan kali Terbuka Itali itu, mencipta kemenangan mudah 6-0, 6-1 dan mencatat pertembungan dengan wakil Georgia, Nikoloz Basilashvili yang diletakkan selaku pilihan ke-14.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi pilihan kelima, Dominic Thiem dari Austria setelah dia ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Sepanyol, Fernando Verdasco.
Thiem yang mendapat bye pada pusingan pertama tewas 6-4, 4-6, 5-7 pada pertandingan pemanas badan terakhir sebelum kejuaraan Grand Slam di Roland Garros bermula 26 Mei ini. – AFP











