KUALA LUMPUR – Saksi ke-28 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi bahawa syarikat SRC International Sdn. Bhd. telah menerima geran permulaan RM20 juta bagi penubuhan syarikat itu sembilan tahun lalu.
Datuk Dr. Kamariah Noruddin, 61, yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, geran penubuhan SRC International adalah dipohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui peruntukkan RM3 bilion pada Oktober 2010.
“Dalam permohonan yang dibuat, tujuan syarikat itu (SRC International) ditubuhkan bagi mengekalkan pegangan strategik dalam pengeluaran negara,” katanya yang mengatakan permohonan itu dibuat oleh 1MDB kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri.
Kamariah berkata demikian selepas pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul berhubung permohonan peruntukkan SRC International pada hari ke-12 perbicaraan kes tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali hari ini.
Ujar saksi itu, secara ringkas, jabatannya itu menyokong cadangan 1MDB untuk menubuhkan SRC International melalui surat bertarikh 24 Ogos 2010 yang ditandatangani oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi dan diserahkan kepada Najib.
Namun, permohonan asal mendapatkan geran RM3 bilion itu tidak disokong kerana terdapat permohonan tersebut membabitkan gas minyak, besi dan aluminium.
“Gas dan minyak sudah dikendalikan oleh Petronas, sementara arang batu ketika itu dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengimport 80 peratus sumber itu dari Indonesia, manakala, besi dan aluminium di berikan kepada syarikat swasta untuk mengendalikannya.
Jadi hanya RM20 juta dapat diluluskan untuk penubuhan SRC International,”ujarnya yang turut memberitahu RM20 juta itu diluluskan Najib ada 15 Oktober 2010.
Perbicaraan bersambung lagi petang ini.
Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.
Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.
Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











