Bagaimana persediaan dan persiapan Ramadan bagi pelarian Rohingya khususnya di kem-kem pelarian di Coxs Bazar, Bangladesh seperti di kem Balukhali, Kuthupalong, Shamlapur, Burmapara dan lain-lain? Gembira atau hiba?
Untuk menjawab persoalan ini, berikut dikongsikan kisah berdasarkan situasi sebenar kehidupan dilalui sebagai pelarian yang dibelenggu pelbagai kesukaran dan kedaifan.
Tinggal kenangan
Berasal dari Maungdaw, Rakhine, Khalu Ahmad, 90, tinggal bersama isteri sementara beberapa anaknya tinggal di kem pelarian lain menakala yang lain hilang tanpa berita.
Dia sakit dalam perut dan tidak boleh berjalan sejak beberapa bulan lalu.
Baginya, Ramadan sangat istimewa bagi seluruh umat Islam Rohingya dan disambut meriah sepertimana umat Islam di seluruh dunia.
“Berbuka, bersahur dan bertarawih setiap hari. Tetapi itu semua tinggal kenangan sejak tentera Myanmar mengusir kami. Di sini kehidupan kami amat susah. Saya reda dengan ketentuan Allah
“Mudah-mudahan Ramadan tahun ini menjadikan bangsa kami insaf, sedar dan terus meningkatkan iman kepada Allah.
“Kalau orang Malaysia boleh beri kuih, buah, daging, sayur, kurma untuk berbuka dan bersahur, kami sangat bersyukur.
Semoga Allah selamatkan umat Islam semua,” katanya.
Mengharap ihsan orang
Melarikan diri ke Bangladesh bersama isteri dan anak-anaknya pada hujung 2017 selepas kampung halamannya di Rauthidung, Rakhine dibakar, Rahmanuson Zakir, 25, pilu dengan nasib menimpa bangsanya yang selama ini hidup aman dan gembira.
“Kali pertama berpuasa di kem pelarian memang amat sedih, suasananya berbeza, jangan difikirkan hendak makan apa kerana nak makan pun susah, isteri dan anak-anak merungut dan menangis setiap hari.
“Saya hanya berpesan kepada mereka supaya terus beribadat, berdoa kepada Allah, minta tolong dengan Allah, jangan lupa solat. Itu sahaja mampu kami lakukan.
“Nak bekerja tidak dibenarkan, apa yang diberi dari pusat bantuan itulah yang kami makan anak-beranak.
Kalau rakyat Malaysia nak bantu kami sambut puasa tahun ini kami gembira kerana kita bersaudara sesama Islam.
Semoga Allah menolong kami bangsa Rohingya keluar daripada penderitaan ini,” katanya.

Nasi bercampur air
Berasal dari wilayah konflik Rauthidung, Rakhine, ibu tunggal, Dhiabanu Saathulah, 60, kematian suami yang dibunuh tentera Myanmar menceritakan bagaimana dia menyambut Ramadan buat pertama kali (2018) di negara orang (Bangladesh) tanpa sebarang persiapan.
“Saya berbuka puasa ala kadar, kadang-kadang makan nasi bercampur air sahaja. Saya juga jarang bersahur, hanya bila ada orang bagi buah, kurma atau apa sahaja tidak tentu. Setiap hari begitu.
“Saya hanya makan minum mengikut keadaan, perut lapar perkara biasa. Sedih memang sedih tapi apa boleh buat, pelarian yang lain pun sama nasib macam saya.
“Ramadan tahun ini kalau ada orang Malaysia nak bantu Alhamdulillah.
Saya gembira dan berharap Allah membalas ingatan orang Malaysia kepada kami di sini,” katanya.

Sakit kerana kebuluran
Berpisah dengan suami yang dipercayai masih hidup dengan menyelamatkan diri di kem pelarian, ibu empat anak, Naseema Khatu terus menyabung nyawa hidup dalam kesengsaraan bersama anaknya.
Tanpa berbekalkan wang mahupun harta, dia meneruskan hidup dengan mengharapkan ihsan dan bantuan dari pusat bantuan kemanusiaan untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
“Anak-anak mahu berpuasa tetapi mereka jatuh sakit kerana tidak makan. Seperti Muslim lain, saya mahu beri anak-anak makan daging dan sayur, tetapi di sini susah nak makan itu semua.
“Ramadan tahun ini saya tidak berharap apa-apa, semuanya susah di sini.
Dapat makan nasi dan bubur berhari-hari perkara biasa, nak merungut pun tiada guna.
Saya berharap ada orang sudi bantu kami menyambut Ramadan nanti dengan lebih baik berbanding tahun lalu.
“Dengan bantuan ini, saya berharap anak-anak dapat berpuasa penuh,” katanya.











