GLASGOW 24 Mei – Celtic bakal membawa dominasi mereka dalam bola sepak Scotland ke satu tahap baharu, esok, apabila menyasarkan untuk merangkul gelaran treble buat tahun ketiga berturut-turut menjelang aksi menentang Hearts pada perlawanan akhir Piala Scotland.
Tiada pasukan selain Celtic ataupun Rangers yang pernah memenangi gelaran liga sejak 1985, tetapi sebelum Brendan Rodgers tiba selaku pengurus pada 2016, Celtic telahpun memenangi gelaran treble setelah menjulang kejuaraan liga, Piala Scotland dan Piala Liga sebanyak tiga kali dalam sejarah kelab itu.
Rodgers mengetuai pasukan itu menyapu bersih trofi pada musim 2016/17 dan 2017/18, tetapi walaupun jurulatih itu meninggalkan kelab pada pertengahan musim untuk menyertai Leicester, ia sama sekali tidak menggugat kedudukan juara Scotland itu untuk terus memburu sejarah.
Spekulasi masih tersebar berhubung ketidakpastian bagi mengisi jawatan pengurus tetap menggantikan bekas bos Liverpool itu.
Pengurus sementara, Neil Lennon hanya mengambil alih pasukan pada Februari lalu dan dia memastikan kelebihan lapan mata yang dimiliki Celtic di puncak liga membolehkan pasukannya mendakap gelaran buat kali kelapan berturut-turut.
Bergelar pengendali Celtic buat kali kedua, Lennon turut memastikan skuad bimbingannya berada di landasan tepat untuk merangkul Piala Scotland, selepas mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Hibs dan Aberdeen.
Bagaimanapun, masih ramai penyokong yang belum yakin dengan kemampuan warga Ireland Utara itu bagi memburu gelaran kesembilan musim depan ataupun menukar dominasi di pentas domestik kepada keputusan yang lebih bagus dalam saingan Eropah. – AFP











