SINARAN mentari pada hari itu cukup terik dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius. Sesekali, bayu menghembus di sekitar Padang Awam, Kampung Medan, Sijangkang, Selangor.
Keadaan tersebut sama sekali tidak menghalang lelaki berusia 66 tahun itu untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Wau Kapal Tegak.
Berbekalkan topi bucket, Kadir Hidayat tetap gagah berdiri di tengah padang tersebut selama lebih 15 minit bagi menunggu detik melepaskan wau kapal ke udara.
Sebaik wisel ditiupkan oleh juri, wau yang dibuat sendiri oleh Kadir itu terbang tinggi ke udara selepas tali tangsi ditarik rakan sepermainannya.
Wau selebar 172 sentimeter itu berjaya mengatasi beberapa pencabar lain dari aspek ketegakan apabila ia naik ke udara.
Ketika itu jelas terukir senyuman pada wajah Kadir sekali gus menggambarkan rasa puas dan bangga terhadap prestasi wau buatannya.
“Menang atau kalah, soal kedua bagi saya. Paling penting, saya dapat memeriahkan pertandingan ini disebabkan minat mendalam terhadap wau kapal.
“Pada saya, apabila wau dapat naik ke udara sudah cukup membuat saya berasa puas. Jadi, rasa letih berjemur tengah panas terus hilang,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Wau kapal milik Kadir merupakan salah sebuah daripada 400 buah wau kapal yang mengambil bahagian pada Pertandingan Wau Kapal Tegak anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Medan.
Pertandingan yang menawarkan hadiah berupa wang tunai RM1,500 berserta hamper bagi juara itu berjaya menarik penyertaan dari sekitar Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
Menurut Kadir yang berasal dari Kuala Langat, Selangor, dia mula terlibat secara aktif dalam membuat dan bermain wau kapal sejak tiga dekad lalu iaitu ketika masih remaja.
Bapa kepada sembilan orang cahaya mata itu memberitahu, wau berkenaan sering dimainkan oleh penduduk kampung di sekitar Selangor bagi mengisi masa terutamanya pada waktu petang.
“Dahulu, wau ini dimainkan oleh remaja dan kanak-kanak untuk beriadah. Kini, wau kapal lebih banyak dimainkan pada pertandingan,” katanya.
Kadir juga menganggotai kumpulan Wak Janggut Crew sejak lima tahun lalu bagi membolehkannya menyertai pertandingan wau kapal secara aktif.
Sejarah
Pertandingan wau kapal tegak telah berlangsung sekian lama di sekitar Selangor dan negeri-negeri bersempadan seperti Perak dan Negeri Sembilan yang diikuti komuniti peminat permainan tradisional itu.
“Setiap tahun, saya menyertai sekurang-kurangnya 10 pertandingan wau kapal tegak.
“Alhamdulillah, pernah beberapa kali saya berjaya menjadi johan dalam pertandingan yang disertai,” terang Kadir yang juga seorang petani.
Menurut Perbadanan Adat Melayu dan Warisan, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor, permainan wau kapal adalah satu permainan turun-temurun di Selangor. Pada peringkat awal, wau berkenaan lebih dikenali sebagai layang-layang Jeram.
Hal ini kerana ia mula dimainkan di pantai Jeram, Kuala Selangor sekitar tahun 1850-an. Ketika itu, Selangor terkenal dengan pelabuhan seperti Langat, Jeram, Klang, Jugra, Bernam dan Morib.
Pelabuhan-pelabuhan berkenaan berjaya menarik kedatangan kapal-kapal dari merata tempat untuk berdagang dan berlabuh di kawasan tersebut.
Suasana aktiviti perkapalan itu memberi idea kepada masyarakat setempat untuk menggunakan nama wau kapal. Nama berkenaan juga disebabkan bentuk ekor wau berkenaan yang menyerupai sebuah kapal.
Salah seorang pemain dan pembuat wau kapal, Ah Kian, 53, memaklumkan, wau kapal dibahagikan kepada dua jenis iaitu wau kapal tradisional dan wau kapal moden.
Jelas lelaki berketurunan Tionghua dari Pelabuhan Klang, Selangor itu, kedua-dua jenis wau berkenaan mempunyai ciri-ciri berbeza terutama dari segi motif hiasan dan reka bentuk.
“Wau kapal tradisional mempunyai motif corak bunga tanjung di bahagian sayap manakala pada bahagian ekor mempunyai motif kapal layar di lautan seperti ombak laut, sauh, pelampung, tingkap kapal dan tali.
“Wau kapal moden mempunyai motif hiasan yang tersendiri dan kebiasaannya menggunakan hiasan mengikut gaya bebas seperti watak animasi dan logo kumpulan.
“Bahagian ekor wau kapal moden lebih mudah dibentuk berbanding wau kapal tradisional kerana tidak mempunyai lengkungan di bahagian tepi seperti sebuah kapal tradisional,” katanya.
Ah Kian mempunyai pengalaman hampir sedekad membuat dan bermain wau kapal. Dia mendalami proses pembuatan wau kapal daripada masyarakat Melayu di sekitar Pelabuhan Klang.
Proses pembuatan
Jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, proses membuat wau kapal agak rumit dan pembuat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi.
Tegasnya, cabaran utamanya adalah meraut buluh supaya dapat dilenturkan bagi menghasilkan bahagian badan, sayap serta ekor.
Dia memaklumkan, pembuat juga perlu memastikan wau yang dihasilkan mempunyai keseimbangan antara kedua-dua bahagian supaya ia mampu terbang dengan sempurna.
“Bahan yang diperlukan untuk membuat wau kapal adalah kertas, buluh, tali dan gam. Biasanya, pembuat wau akan menggunakan buluh minyak kerana lebih mudah dilentur.
“Saya juga ada menerima tempahan daripada pemain untuk membuat wau kapal. Harga sebuah wau adalah serendah RM130 bergantung kepada saiz dan corak,” terangnya.
Dia menambah, beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap wau kapal yang ingin menyertai pertandingan wau kapal tegak terutamanya pada bahagian kepala.
Ujarnya, bahagian kepala wau perlu diletak pemberat berupa timah bagi memastikan wau berkenaan menaik secara menegak apabila dimainkan.
“Jumlah pemberat digunakan tidak sama pada setiap wau. Selalunya, jumlah pemberat yang digunakan kurang daripada 500 gram,” ujarnya yang aktif menyertai pertandingan wau kapal tegak.
Kaedah manual
Sementara itu, Ketua Urus Setia Pertandingan Wau Kapal Tegak Terbuka, Zamani Salimi berkata, pertandingan wau kapal tegak berbeza dengan pertandingan wau atau layang-layang di negara ini.
Menurut Zamani, pertandingan tersebut tidak diadili berdasarkan wau yang terbang lama di udara sebaliknya ia mengambil kira ketegakan wau.
Justeru, para pemain perlu menaikkan wau masing-masing sehingga pada kedudukan 90 darjah dalam jangka masa ditetapkan.
Pemenang dipilih berdasarkan kedudukan wau paling tegak mengikut tata cara yang ditetapkan oleh pihak penganjur pertandingan.
“Semua pasukan akan dipantau oleh juri dan mereka perlu mengikat tali layang-layang pada garisan khas bagi mengenal pasti pemenang.
“Juri pertandingan memilih wau paling tegak dengan cara mencucuk atau mengacu ke arah ruang antara tali-tali wau berkenaan menggunakan kayu sepanjang 1 meter selepas wisel tamat ditiupkan,” jelasnya.
Sekiranya tali terputus sebelum masa berakhir, wau berkenaan dikira kalah. Andai ribut, hujan atau tiada angin, pemenang ditentukan melalui undian atau wau lambat turun.
Ujar Zamani, rata-rata peserta yang mengambil bahagian pada pertandingan wau kapal tegak adalah secara berkumpulan iaitu antara dua hingga enam orang.
“Permainan wau ini memerlukan dua orang untuk dimainkan iaitu seorang pemegang tali manakala seorang lagi ditugaskan melepaskan wau,” jelasnya.
Uniknya, pengiraan masa wau di udara menggunakan tempurung kelapa berlubang yang direndam dalam sebuah balang berisi air. Bermakna, para peserta perlu menegakkan wau dalam tempoh kira-kira 10 saat.
Jelas Zamani, pihaknya sengaja mengekalkan kaedah pengiraan masa secara manual bagi mewujudkan nilai tradisional dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan melibatkan wau kapal yang selayaknya diangkat sebagai identiti Selangor berbeza daripada pertandingan-pertandingan wau lain apabila pemenangnya dipilih berdasarkan kedudukan wau yang paling tegak di udara.











