KUANTAN – Seorang buruh Indonesia dijatuhkan hukuman penjara lima dan tiga bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas dua pertuduhan menceroboh dan menguruskan kilang kayu secara haram di Hutan Simpan Bukit Ibam, Rompin pada 31 Januari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 3(3) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985, Amirudin, 55, dituduh menguruskan kilang papan tanpa lesen yang sah pada 31 Januari lalu di Kompartmen 129, Hutan Simpan Bukit Ibam kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 47(1) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, Amirudin dituduh memasuki Kompartmen 129 Hutan Simpan Bukit Ibam tanpa kebenaran yang sah pada tarikh dan masa yang sama.
Sabit kesalahan di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Sejurus pertuduhan dibacakan, Amirudin yang tidak diwakili peguam, merayu supaya mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menanggung seorang isteri, lima anak serta seorang cucu yang berada di negara asal.
Timbalan Pendakwa Raya, Mason Jaro Lenya bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga orang awam. – K! ONLINE
Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk pertuduhan pertama serta penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua yang dijalankan serentak bermula tarikh ditangkap. – K! ONLINE











