KUALA LUMPUR 24 Mei – Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini berikutan minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih, bagaimanapun saham yang lebih luas rendah disebabkan sentimen global yang lemah, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.67 mata kepada 1,605.54 selepas dibuka rendah 7.71 mata kepada 1,594.16.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 398 berbanding 261, dengan 344 kaunter tidak berubah, 894 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.1 bilion unit bernilai RM705.65 juta.
Peniaga berkata sokongan terus dilihat dalam saham berkaitan indeks dengan persekitaran pasaran yang masih lemah disebabkan pertikaian perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dan China.
“Sokongan telah membantu mengekalkan indeks utama melebihi paras sokongan 1,600, bagaimanapun dengan sentimen yang semakin lemah, kami berpendapat paras tersebut mungkin tidak bertahan lama,” katanya. -BERNAMA











