KUALA LUMPUR 13 Mei – Bursa Malaysia rendah pada sesi dagangan awal pada Isnin berikutan keadaan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang masih tidak menentu terus memberi kesan terhadap sentimen pasaran.
Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.05 mata kepada 1,609.22 daripada 1,610.27 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks dibuka 0.28 mata lebih tinggi pada 1,610.55.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 149 berbanding 96 manakala 184 kaunter tidak berubah, 1,480 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 99.28 juta saham bernilai RM35.17 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, perbincangan perdagangan AS-China terus memberi tekanan selepas kedua-dua pihak mengakhiri rundingan perdagangan mereka tanpa sebarang perjanjian pada minggu lepas meningkatkan lagi ketidaktentuan perdagangan global.
Selain itu, AS turut menaikkan tarif terhadap barangan China bernilai AS$200 bilion (RM832.50 bilion) kepada 25 peratus daripada 10 peratus pada Jumaat.
Di dalam negara, saham barisan kedua dan kedudukan pasaran secara menyeluruh turut suram berikutan kurang minat belian berikutan sentimen kekal kurang memberangsangkan.
Sehubungan itu, aliran menurun akan berterusan buat masa ini dan wujud tekanan untuk harga dikurangkan buat seketika.
Bagaimanapun, Malacca Securities percaya akan terdapat beberapa perkembangan menggalakkan yang akan mendorong minat belian iaitu penurunan kadar faedah baru-baru ini yang dilihat sebagai langkah awal untuk mendepani persekitaran ekonomi global yang sukar susulan perang perdagangan antara Washington dan Beijing yang semakin memuncak.
“FBM KLCI dijangka terus rendah untuk berada pada paras sokongan 1,600 mata dan seterusnya ke paras 1,592,” katanya dan menurutnya paras rintangan masing-masing dijangka pada 1,618 dan 1,625,” katanya. – BERNAMA











