AWANG tidak pasti sudah berapa kali media termasuk akhbar ini mendedahkan mengenai pintu sempadan negara yang mudah bocor. Dalam bahasa mudah, ia bukanlah isu baharu tetapi sudah lama terjadi. Persoalannya, apakah tindakan kerajaan?
Apa yang didedahkan oleh akhbar Awang semalam, bagaimana tiada alat penimbang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Terap hanyalah salah satu daripada masalah yang membelenggu sempadan negara.
Banyak lagi masalah sebenarnya di kawasan berkenaan bukan sahaja di Perlis malah di tempat-tempat lain juga. Namun biarpun ia melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara tetapi kita seolah-olah lambat bertindak.
Awang sudah dengar banyak cerita termasuklah bagaimana berlakunya amalan rasuah dalam kalangan segelintir anggota agensi penguat kuasa. Semua ini ibarat kudis yang perlu ditangani sebelum ia menjadi barah.
Oleh itu Awang berharap kerajaan akan melakukan sesuatu. Tiada salah jika kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani isu di sempadan. Kita sudah bosan membaca pendedahan demi pendedahan tetapi penyelesaiannya entah ke mana.
Awang – Tahu banyak isu.











