SEREMBAN 9 Mei – Kerajaan Negeri Sembilan didesak supaya meningkatkan pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM100,000 bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman sendiri.
Koordinator Biro Perumahan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan negeri, S. Thinagaran berkata, terdapat 108,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) daripada kira-kira 1.14 juta penduduk di negeri ini.
Jelasnya, hasil kajian melibatkan 626 responden yang dilakukan pihaknya di negeri ini baru-baru ini mendapati 99.7 peratus daripada mereka memerlukan rumah berharga antara RM45,000 hingga RM100,000 yang dibina kerajaan.
“Bagaimanapun, sebanyak 96 peratus daripada responden berpendapat rumah pada harga tersebut adalah tidak mencukupi di pasaran.
“Sebanyak 97 peratus daripada mereka pula mengakui tidak mampu membeli rumah pada harga RM250,000 ke atas,” katanya selepas menyerahkan memorandum berhubung isu perumahan kepada Menteri Besar di Wisma Negeri di sini hari ini.
Memorandum itu diterima Setiausaha Sulit Menteri Besar, Sallehuddin Mohd. Noor.
Menurut Thinagaran, Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan pemaju membina 15 peratus Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A berharga bawah RM80,000 daripada 50 peratus RMM di sesuatu kawasan, adalah tidak cukup menampung keperluan rakyat.
Katanya, sehubungan itu kerajaan negeri harus meningkatkan pembinaan rumah jenis A itu daripada 15 peratus kepada 30 peratus bagi memenuhi permintaan sebenar rakyat setempat.
“Hentikan penjualan tanah-tanah strategik milik kerajaan negeri supaya ia boleh diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina rumah jenis A.
“Kerajaan negeri juga perlu melaksanakan kajian permintaan perumahan agar mendapat gambaran sebenar dan tidak dikaburi spekulasi harga oleh mereka yang membeli rumah untuk keuntungan bukannya didiami,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











