BERLIN 15 Mei – Bekas pemain Bayern Munich, Arjen Robben mengakui dia masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya malah turut mempertimbangkan untuk menggantung but selepas meninggalkan kelab gergasi Jerman itu.
Pemain sayap berusia 35 tahun itu meninggalkan Munich selepas 10 tahun beraksi pada hujung musim ini dan dia turut dikaitkan bakal menyertai beberapa kelab terkemuka antaranya Inter Milan dan Groningen.
“Saya lambat membuat keputusan sebab kecederaan yang dialami. Saya mahu kembali beraksi terlebih dahulu. Jujurnya, isteri saya lebih suka jika saya bersara.
“Bukan mudah untuk saya membuat keputusan. Jika anda membuat keputusan untuk bermain anda perlu mencari pasukan yang sesuai bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi keluarga saya,” kata Robben.
Ketika ditanya sama ada dia akan bersara, Robben tidak menafikan itu antara pilihannya.
“Salah satu pilihan namun saya tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia akan meraikan jaringannya jika bertemu Bayern pada masa depan, Robben tidak mempunyai masalah untuk melakukannya.
“Semua orang berbeza namun dengan hormat, saya fikir agak kurang bijak jika seseorang pemain tidak meraikan kejayaan dia menjaringkan gol meskipun bertemu bekas kelab. Bola sepak adalah bola sepak,” katanya.
Pemain Belanda itu menjuarai Liga Juara-Juara bersama Bayern enam tahun lalu dan berharap dapat merangkul kejuaraan Bundesliga buat kali terakhir pada hujung minggu ini. – AFP











