Bermasam muka itu biasa- Projector Band - Utusan Malaysia

Bermasam muka itu biasa- Projector Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN pernah diuji dengan pelbagai rintangan sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia muzik, setiap anggota kumpulan Projector Band percaya keikhlasan dan kesediaan untuk berunding menjadi kunci kepada keutuhan kumpulan itu.

Namun, sudah menjadi lumrah apabila banyak ‘kepala’ dalam sebuah kumpulan, mereka tidak akan terlepas daripada perselisihan faham.

Namun, bagi Iskandar Zulkarnain Shafin, 26, (vokalis); Muhammad Safiq Zainuddin, 25, (dram); Razif Zainuddin, 27 (gitaris); Zainal Amir Hamzah, 24, (gitaris kedua) dan Ahmad Khusairi Shaferi,

 

29, (bass) itu sebenarnya menjadi penguat untuk mereka kekal utuh.

Menurut Iskandar, perkara seperti itu adalah normal tapi tidak mengganggu atau memberi kesan kepada perjalanan band yang popular dengan lagu Aishah ini kerana mereka tidak menyimpan perasaan jika berlaku perselisihan faham sesama sendiri.

“Perselisihan faham pasti akan berlaku dalam mana-mana kumpulan. Kami juga tidak terkecuali. Adik beradik yang ada pertalian darah sekalipun bergaduh, ini pula kami yang duduk berasingan dan ‘kepala’ lain-lain.

“Jika ada masalah, kami akan selesaikan secara baik dan cepat, namun setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah besar yang boleh membuatkan pergaduhan berpanjangan. Bergaduh, bermasam muka dan merajuk adalah perkasa biasa dalam band.

“Kalau ada masalah atau rasa tidak puas hati, kami duduk berbincang dan selesaikan dengan cepat. Jangan tangguh-tangguh takut nanti merosakkan kerjaya kami sendiri,” katanya.

Pernah tampil dengan lagu-lagu berentak 90-an, lima anak muda ini sedang aktif dalam rangka promosi single ketujuh mereka yang berjudul Cinta Kita.

Menurut Razif, single terbaharu ini adalah istimewa kerana merupakan kesinambungan lagu Aishah yang pernah dipopularkan mereka sekitar dua tahun yang lalu.

“Konsep lagu Cinta Kita sama seperti single ketiga kami iaitu Aishah dan menariknya lagu ini

 

adalah sambungan kepada lagu Aishah. Hanya perlu dengar sekali, peminat akan dapat tangkap yang lagu ini berkaitan dengan lagu Aishah.

“Alhamdulillah, setakat ini penerimaan peminat terhadap lagu Cinta Kita amat baik dan maklum balas yang diterima juga adalah sangat positif,” kata Razif.
 

Dikatakan semakin ‘sendu’ lantaran kewujudan band-band baharu beserta penyanyi solo, jelas Razif, mereka berasakan apa yang berlaku adalah lumrah dalam kehidupan artis.

“Kami rasa ini semua baik untuk industri, malah kehadiran band-band baharu menjadikan industri seni bertambah baik dan meriah.

“Kami tak rasa ‘sendu’, malah peminat juga sentiasa ada dan menanti projek-projek terbaharu kami. Malah dengan adanya lagu-lagu baharu, ia akan menjadikan kami kekal bernafas dalam industri muzik,”jelasnya.

Sempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Projector Band turut muncul dengan sebuah lagu raya yang lebih berentak ketuhanan.

Menurut Safiq, sebelum ni mereka pernah keluar dengan lagu raya pada 2016, namun ia adalah lagu Sudah Ku Tahu yang ditukar liriknya menjadi lagu raya.

“Untuk tahun ni, kami akan muncul dengan lagu raya sebenar berjudul Rakan Teman Aidilfitri. Lagu ini liriknya oleh Johari Teh dan lagu pula oleh Puyu.

“Memang teruja nak keluar lagu raya, sebab itu memang impian setiap penyanyi. Malah untuk menjadikan lagu raya sebagai lagu yang diterima setiap kali raya adalah impian kami semua,” jelas Safiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×