SABAK BERNAM – Alasan seorang lelaki konon mengurut pelanggan sehingga lewat membuka pintu rumah gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dicekup bersama anak lelakinya di Kampung Sekendi, di sini semalam.
Penahanan dua beranak berusia 30 dan 55 tahun pukul 2.30 pagi itu hasil serbuan Ops Cegah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah ini.
Ketua AADK, Zulazli Hashimuddin berkata, hasil siasatan mendapati dua beranak itu mengakui menghisap dadah di rumah tersebut bersama empat orang rakan yang telah berjaya melarikan diri.
Katanya, salah seorang daripada dua beranak itu ditemui bersembunyi di dalam almari.
“Ujian hasil air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu.
“Bagaimanapun, tiada peralatan atau dadah ditemui susulan dipercayai telah dibawa lari oleh rakan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya turut menahan tiga lagi lelaki berusia 34 hingga 43 tahun di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah ini dalam operasi sama selama lima jam bermula pukul 11 malam itu.
Ujar Zulazli, ujian air kencing mendapati mereka positif syabu dan morfin.
“Kesemua suspek kini direman selama 10 hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. – K! ONLINE











