SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya bendera negeri itu dikibarkan separuh tiang bermula hari ini hingga esok bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Almarhum Sultan Abu Bakar.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini, yang turut merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh rakyat Pahang.
“Semoga roh Almarhum mendapat husnul khatimah, dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” katanya.
Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, 88, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.
Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Seri Paduka Al-Sultan Abdullah.
Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan akhbar hari ini. – Bernama











