KUALA LUMPUR 12 Mei – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberitahu badan induk tersebut masih belum menerima nama pemain yang mempunyai darah kacukan Malaysia untuk diketengahkan bagi mewakili skuad Harimau Malaya.
Sebelum ini, Stuart berkata beliau mengadakan pertemuan bersama seorang ejen sewaktu Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) pada bulan lalu selepas dimaklumkan individu terbabit mempunyai lima pemain yang mempunyai darah kacukan Malaysia.
Bagaimanapun selepas pertemuan itu, sehingga ke hari ini ejen terbabit belum memberi kelima-lima nama pemain.
“Belum ada maklumat lagi sebab masa perjumpaan tempoh hari saya memberitahu kepada ejen terbabit untuk mengumpul sebanyak maklumat yang boleh dan kemudian menghubungi saya semula.
“Namun, saya belum menerima apa-apa berita daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN ONLINE











