Bayaran interim ketiga Felcra diagihkan mulai hari ini - Utusan Malaysia

Bayaran interim ketiga Felcra diagihkan mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Seramai 37,866 peserta Felcra Berhad (Felcra) bakal menerima bayaran interim ketiga secara berperingkat-peringkat mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd. Nazrul Izam Mansor dalam kenyataan berkata, bayaran itu dapat dibuat selepas pihaknya memperoleh jumlah akhir keuntungan sebanyak RM18.04 juta, hasil daripada 404 ladang penyatuan dan pemulihan para peserta.

“Bayaran akhir itu melengkapkan amalan pembayaran keuntungan tahunan sebanyak tiga kali setahun iaitu interim pertama ketika meraikan sambutan Aidilfitri, musim persekolahan bermula (interim kedua) dan agihan akhir setelah akaun projek ditutup,” katanya di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Mohd. Nazrul Izam, jumlah keseluruhan keuntungan yang boleh diagih bagi tahun lalu adalah sebanyak RM111.5 juta, merangkumi RM36.1 juta yang dibayar semasa interim pertama, RM24.3 juta (interim kedua) dan RM18.04 juta (interim ketiga).

Tambahnya, jumlah keseluruhan keuntungan itu turut melibatkan Agihan Keuntungan Bulanan sebanyak RM32.9 juta yang dibayar kepada beberapa projek yang mengamalkan agihan bulanan.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nazrul Izam memberitahu, faktor penurunan agihan berlaku akibat kejatuhan harga sawit, iaitu RM458 satu tan metrik pada tahun lalu, berbanding RM602 satu tan metrik tahun sebelumnya.

Katanya, di samping itu kejatuhan harga minyak sawit mentah dunia turut menyumbang penurunan agihan, iaitu RM2,237 satu tan metrik pada tahun lalu, berbanding RM2,800 satu tan metrik pada 2017.

“Walaupun industri komoditi menghadapi krisis kejatuhan harga di pasaran global, Felcra tetap melaksanakan tanggungjawab memastikan purata produktiviti ladang berada pada tahap optimum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini