VALENCIA 10 Mei – Barcelona mungkin tidak dapat menurunkan Luis Suarez dalam final Copa del Rey menentang Valencia pada 26 Mei ini selepas bekas penyerang Liverpool itu melakukan pembedahan lutut.
Suarez beraksi sepenuh masa ketika Barca dibelasah 0-4 oleh Liverpool, Selasa lalu sekali gus meranapkan impian gergasi Sepanyol itu untuk beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, semalam Barca memaklumkan bahawa Suarez perlu menjalani pembedahan pada ketika aksi final Copa del Rey akan berlangsung dua minggu lagi.
“Luis Suarez mengalami kecederaan menisus (pelapik lutut) kaki kanan dan akan dibedah hari ini (semalam),” kata Barca.
Suarez juga bakal terlepas pertemuan menentang Getafe dalam aksi La Liga, Ahad ini diikuti Eibar, perlawanan terakhir liga musim ini pada minggu berikutnya. – AFP











