Bapa tiri dera dua beradik dengan pemukul nyamuk - Utusan Malaysia

Bapa tiri dera dua beradik dengan pemukul nyamuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – Seorang jurukimpal ditahan kerana dipercayai mendera dua anak tirinya dengan menggunakan rotan pemukul nyamuk.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Bidut, Sibu, Sarawak.

Menurutnya, perbuatan suspek dikesan oleh ibu kandung mereka selepas membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ke Hospital Sibu setelah mengadu sakit kepala, Rabu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, setelah pihak hospital membuat pemeriksaan, mangsa menceritakan kepada pengadu bahawa dia dan adiknya berusia lima tahun telah dipukul oleh bapa tirinya ketika mereka berada di luar rumah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa merupakan anak hasil perkahwinan ibu kandung mangsa dengan suami terdahulu yang sudah meninggal dunia.

“Pengadu telah berkahwin dengan suspek sejak empat tahun yang lalu dan memang mengetahui anaknya pernah dipukul oleh suspek tapi tidak mengalami kecederaan yang teruk. Pengadu tidak membuat laporan (sebelum ini) kerana masih mampu bersabar dan beri peluang kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Stanley memaklumkan, hasil soal siasat, suspek mengaku memukul kedua-dua mangsa dengan rotan pemukul nyamuk atas alasan mereka degil bermain di sungai berhampiran rumah dalam satu kejadian pada 4 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata dan kesan calar kecederaan lama di bahagian belakang badan.

“Kedua-dua mangsa kini berada di Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini