GERIK – Seorang lelaki maut manakala dua anaknya cedera selepas terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 11, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Mohd. Nazeri Zakaria, 42, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah kerana tersepit di bahagian pemandu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan mendapati kenderaan dinaiki tiga beranak yang berasal dari Bachok, Kelantan itu dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.
“Tiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan jenis Proton Exora.
“Pada masa sama, sebuah lori membawa muatan besi yang berada di belakang Proton Exora tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan di hadapannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Ismail, akibat kemalangan tersebut, mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia manakala seorang anaknya tidak sedarkan diri dan seorang lagi cedera ringan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.
“Pemandu Proton Exora berusia 42 tahun dan pemandu lori berusia 49 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










