Banyak air mata dan keringat telah dilaburkan - Anwa - Utusan Malaysia

Banyak air mata dan keringat telah dilaburkan – Anwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sajida Asarulah Khan

KUALA LUMPUR 9 Mei – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak mudah kerana semuanya berlaku hasil daripada kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan serta reformasi sejak 20 tahun lalu.

Dalam perutusan khas sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH, Anwar memberitahu banyak air mata dan keringat telah dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat pada 9 Mei 2018.

“Alhamdulillah, hari ini adalah ulang tahun pertama pentadbiran PH dan juga ulang tahun pertama negara ini berjaya menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan. 

“Dengan berkat dukungan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, jika ditelaah semula pencapaian-pencapaian yang telah dicapai pada hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara dan tidak dinafikan juga masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia. 

“Namun usaha dan upaya PH dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat. 

“Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja malah mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat,” katanya.

Tambahnya lagi, hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing ketika PH sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan. 

“Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya. 

“Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak daripada kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah lanskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini. 



“Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini