KUALA LUMPUR 7 Mei – Bank Rakyat memperuntukkan RM200 juta khusus untuk vendor Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menerusi Program Pembiayaan Vendor.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, ia seiring dengan inisiatif kerajaan untuk mendorong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Katanya, pembiayaan vendor berkenaan terbuka kepada semua PKS tempatan yang mendapat kontrak dengan Petronas dan menepati penilaian kredit oleh Bank Rakyat.
“Ia bertujuan memberi manfaat kepada PKS khususnya dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan penggiat sektor itu.
“Bantuan dari segi modal kerja dan meningkatkan aliran tunai membolehkan vendor menyiapkan kontrak diberikan oleh Petronas,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat dan Petronas di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar dan Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, RM200 juta itu diper untukkan untuk fasa pertama dan akan ditambah jika permintaan meningkat.
“Sebelum MoU ini, sejumlah RM15 juta dikeluarkan kepada tujuh vendor dalam sektor OGSE, dan menerusi kerjasama baharu dengan Petronas, kami berhasrat untuk melihat peningkatan.
“Selain daripada perjanjian dengan Petronas, Bank Rakyat sedang berusaha melaksanakan struktur yang sama untuk vendor syarikat berkaitan kerajaan, terutama Telekom Malaysia Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd.,” tambahnya.










