KUALA LUMPUR 2 Mei – Bank Islam Malaysia Bhd melihat lebih banyak peluang bakal diwujudkan ke atas perniagaan perbankan pengguna melalui pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, apa-apa pengurangan OPR adalah bagus untuk perbelanjaan pengguna dan pelaburan.
“Dasar kewangan BNM biasanya bertujuan untuk mengembangkan lagi ekonomi negara. Pada pandangan pengawal selia sekarang ini, masih terdapat skop bagi pertumbuhan ekonomi negara melalui dasar monetari.
“Sebagai bank yang berorientasikan lebih ke arah perbankan pengguna, apabila terdapat lebih banyak perbelanjaan pengguna dan pelaburan, akan wujud lebih banyak perniagaan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan zakat baharu bagi simpanan dan pelaburan pelanggan.
Sebarang pengurangan akan memberi kesan yang ketara ke atas prestasi kewangan bank pada tahun ini.
“Bagi mana-mana bank, pemotongan OPR akan memberikan impak serta-merta kerana kadar faedah akan diturunkan.
“Tetapi untuk deposit berjangka, kadar akan berubah hanya apabila akaun menjadi matang,” jelasnya.
Perniagaan perbankan pengguna Bank Islam mewakili 60 peratus daripada jumlah aset dan 75 peratus daripada pembiayaan.
BNM dijangka mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 7 Mei ini. – BERNAMA











