Anugerah Gerai Wow tingkat kesedaran peniaga bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Anugerah Gerai Wow tingkat kesedaran peniaga bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mei – Anugerah Gerai Wow anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya meningkatkan kesedaran penjagaan kualiti dan aspek kebersihan makanan dalam kalangan 300 peniaga Bazar Ramadan Putrajaya 2019 di sini.

Pertandingan itu bermula 4 Mei atau 1 Ramadan lalu, bertujuan mendorong serta memupuk semangat daya saing secara sihat dalam kalangan peniaga untuk memastikan jaminan kualiti makanan dan minuman yang dijual adalah yang terbaik.

Menurut PPj, sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu makanan, minuman dan kuih-muih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kaedah penilaian mencakupi aspek kebersihan bermula dari tapak jualan sehingga kepada penyediaan makanan, pematuhan peraturan dan syarat lesen serta aspek keceriaan gerai dalam menarik pengunjung,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi kategori makanan dimenangi oleh Norizuwan Shah Zainal yang menjual me rebus Johor. Kategori minuman pula dimenangi oleh Ab. Rahaman Asbari dan kuih-muih oleh Mohd. Syahrizan Ismail yang menjual roti John.

Pemenang menerima hadiah wang tunai RM250, hamper, sijil penghargaan.

Hadiah paling istimewa ialah pemenang akan diberi keutamaan dalam pemilihan peniaga Bazar Ramadan Putrajaya pada tahun berikutnya tanpa perlu melalui proses undian lot.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Sementara ituu, Mohd. Syahrizal ketika ditemui memberitahu, dia akan menjadikan kemenangan itu sebagai pendorong untuk mengembangkan perniagaan roti Johnnya yang sebelum ini dilakukan secara dalam talian.

“Saya pertama kali berniaga di bazar Ramadan, selepas ini berhasrat membuka gerai di Putrajaya,” katanya yang sentiasa dibantu isteri, Shahidah Shah Minan memajukan perniagaannya.

Menurut Mohd. Syahrizal, dia berjaya menjual antara 100 hingga 130 biji roti John berharga antara RM7 (roti John biasa) hingga RM10 (roti John cheese special) setiap hari, manakala pada cuti umum dan hujung minggu dia mampu menjual sehingga jualanya 150 biji.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan, hampir setiap hari boleh dikatakan habis terjual,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini