Anak asnaf mahu buka kedai jahit - Utusan Malaysia

Anak asnaf mahu buka kedai jahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Mei – Seorang gadis anak penoreh getah dari Kampung Telekong, Kuala Krai menyimpan hasrat membuka kedai jahitan sendiri untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan.

Durratun Nasihah Yusof, 18, kini mengikuti kursus jahitan di Bengkel Kemahiran Hidup Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Jalan Kelochor di sini sejak Mac lalu.

Durratun Nasihah berkata, memang menjadi cita-citanya untuk bergelar tukang jahit kerana yakin bidang itu amat luas dan mampu memberi pendapatan lumayan jika rajin berusaha.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak di sekolah menengah lagi saya minat bidang jahitan dan pernah meminta keizinan cikgu untuk menjahit sepasang baju kurung untuk adik saya semasa praktikal dalam kelas kemahiran hidup walaupun baru belajar perkara asas.

“Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu saya terus mengisi borang permohonan masuk ke bengkel Maik khusus kepada golongan asnaf ini dan amat gembira apabila terpilih sebagai pelajar,” katanya ketika ditemui di Bengkel Kemahiran Hidup Maik di sini hari ini.

Durratun Nasihah merupakan anak ketujuh daripada 11 beradik kepada pasangan Yusof Ahmad, 47, seorang penoreh getah dan Zanzila Mat Zain, 44, surirumah sepenuh masa.

Menurut gadis ini, tiga kakak dan tiga abangnya hanya bekerja kampung dan membantu ibu bapa mereka sekadar termampu.

“Sekarang menjadi tanggungjawab saya untuk belajar bersungguh-sungguh dalam tempoh lapan bulan ini sehingga betul-betul menjadi tukang jahit mahir.

“Saya perlu membantu ayah menyara keluarga memandangkan empat adik saya berusia antara 4 tahun hingga 16 tahun masih bersekolah,” katanya.

Sementara itu, guru jahitan, Aminah Mohamed, 47, berkata terdapat 19 orang pelajar berusia dari 18 tahun hingga 27 tahun sedang mengikuti kursus jahitan yang ditawarkan secara percuma oleh Maik selain enam pelajar automatif dan lima pelajar sulaman.

Aminah berkata, selain elaun RM300 sebulan, kesemua pelajar golongan asnaf itu turut mendapat kemudahan asrama percuma.

“Kursus setiap tahun bermula dari bulan Mac hingga November, pihak Maik menyediakan tempat untuk 25 pelajar jahitan, 10 sulaman dan 10 automatif tetapi segelintir berhenti apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian tinggi.

“Sejak kita bermula dari 1996 hingga sekarang sudah ramai yang mampu mencari pendapatan hasil kemahiran yang dipelajari, bagaimanapun semuanya terpulang kepada kehendak masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini