SHAH ALAM – Polis Selangor sedang memburu seorang lelaki warga Nigeria kerana disyaki terlibat kes penemuan mayat Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, di sebuah unit kondominium di Cyberjaya, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki itu dikenali Aliwajuwon Gilbertalowonle berasal dari Benin, Nigeria yang memasuki negara ini sejak awal Januari lalu.
Katanya, Aliwajuwon dipercayai peniaga telefon bimbit di Plaza Lowyat, Kuala Lumpur.
“Terdahulu, kita telah menahan dua suspek masing-masing lelaki warga Pakistan dan wanita warga Nigeria berusia 38 dan 35 tahun di sekitar Kuala Lumpur selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kondominium terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang diburu serta dua individu yang telah ditahan merupakan peniaga telefon bimbit di Plaza Lowyat, Kuala Lumpur. Kaitan antara ketiga-tiga suspek dengan kematian mangsa masih disiasat,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Azam memberitahu, polis menerima laporan penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 2.30 petang semalam oleh orang awam yang melihat terdapat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit.
Ujar beliau, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian lengkap.
“Terdapat kesan kecederaan di bahagian dada, leher dan kepala Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kita percaya mangsa telah dibunuh antara empat hingga lima hari lalu berdasarkan keadaan mayat tersebut,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya masih mengenalpasti motif kejadian dengan siasatan meliputi aspek termasuk dirogol, dilarikan atau lain-lain.
“Bagaimanapun, kita menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga milik mangsa tidak hilang serta tiada kesan pecah masuk,” katanya.
Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan kali terakhir mangsa menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.
Menurut adiknya, Siti Khairani, 36, keluarganya tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir kakaknya bersama suami serta anaknya pada hari sama dia dilaporkan hilang.
Siti Kharina yang mempunyai sepasang anak kembar perempuan berusia 10 tahun dan seorang anak perempuan berusia 14 tahun kali terakhir dilihat di tempat letak kenderaan Hospital Serdang dekat sini bersama sebuah kereta Honda City pada pukul 4 petang hari kejadian. – K! ONLINE











