KUALA LUMPUR 10 Mei – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) perlu memaklumkan kepada pengguna mengenai status kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air dengan lebih kerap.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, langkah itu penting susulan kejadian paip utama pecah di tapak projek pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting – Taiping.
“Mengikut Peruntukan Seksyen 54 dan Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655), operator air mempunyai obligasi untuk mengemas kini laporan kemajuan mengenai gangguan bekalan kepada pengguna melalui kenyataan media, laman wei dan media sosial.
“Oleh yang demikian, Air Selangor perlu mematuhi akta tersebut dengan memaklumkan kepada pengguna mengenai status kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan dan status pemulihan ke kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Charles, pihaknya telah mengarahkan Air Selangor berbuat demikian menerusi surat yang ditandatangani beliau sendiri pagi ini.
“SPAN juga akan memantau secara rapi kerja-kerja pembaikan ke atas paip-paip tersebut bagi memastikan bekalan air pulih dengan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE











