Afifah kenang jasa Cikgu Haridan - Utusan Malaysia

Afifah kenang jasa Cikgu Haridan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH 10 tahun meninggalkan alam persekolahan sama sekali tidak menjadikan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi melupakan kenangan sepanjang bersekolah terutama guru-guru yang banyak mencorak perjalanan hidupnya kini.

Pemain boling negara berusia 27 itu berkata, dalam meniti kehidupan sebagai pelajar dan pemain boling seawal usia sembilan tahun, dia amat menghargai kehadiran seorang insan bergelar pendidik yang banyak membimbingnya dalam sukan tersebut.

Menurut Syaidatul Afifah, Ahmad Haridan Mohammed, 52, adalah antara individu yang mempercayai bakatnya sehingga memilihnya mewakili Perak dalam acara boling untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) semasa berada di darjah enam.

Katanya, Ahmad Haridan yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan di Sekolah Menengah Gunung Rapat di sini, juga adalah insan yang memainkan peranan besar dalam permulaan kariernya sebagai atlet apabila mengusulkan kepada bapanya agar dia memiliki kelengkapan boling sendiri.

‘‘Cikgu Haridan bukan guru sekolah saya tetapi kami kenal semasa saya menyertai Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri (MSSN) ketika saya berusia 12 tahun dan dia ditugaskan memilih antara yang terbaik mewakili Perak ke MSSM dengan saya me­rupakan seorang daripadanya.

‘‘Ketika saya tidak tahu apa-apa tentang boling, Cikgu Haridanlah yang mencadangkan kepada bapa agar membelikan saya bola dan kasut boling sendiri agar saya lebih yakin bersaing dengan peserta lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Syaidatul Afifah, walaupun Cikgu Haridan bukan individu pertama yang mencungkil bakatnya dalam sukan berkenaan, peranannya sentiasa dikenang apabila selalu ada bersamanya sepanjang menyertai MSSM.

Katanya, dia mula menyertai MSSM sejak di darjah enam dan tanpa gagal mewakili Perak sehingga menamatkan persekolahan di tingkatan lima.

Ujarnya, meskipun ramai guru yang bersamanya sepanjang permulaan karier sebagai pemain boling, Cikgu Haridan adalah yang paling lama sehingga turut serta dalam kejohanan sekolah Asia di Hong Kong.

‘‘Saya amat menghargai pera­nan Cikgu Haridan dan jika dia tiada serta bukan atas tunjuk ajarnya, saya tidak rasa saya mampu mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini.

‘‘Tidak salah untuk saya katakan bahawa dia antara pendorong saya dalam sukan boling selain keluarga.

‘‘Ketika itu, dia bukan sahaja memberi tunjuk ajar dan semangat malah ada kalanya memberi kritikan membina untuk membantu meningkatkan p­restasi permainan saya,’’ kata­nya.

Dalam pada itu Syaidatul Afifah berkata, dia juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang terlibat membentuk dirinya sebagai pemain boling sehingga bergelar pemain boling negara.

‘‘Terima kasih tidak terhingga kepada semua guru-guru saya termasuk Cikgu Razak, Cikgu Shahril, Cikgu Faridah, Cikgu Aida, Cikgu Eddy, Cikgu Ezaim, Cikgu Norzi, Cikgu Hartina dan Cikgu Mastura,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×