PULAU PINANG 25 Mei – Sebanyak 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggesa beliau campur tangan agar kerajaan negeri membatalkan projek tambak laut di perairan selatan (PSR).
Antara NGO yang terlibat dalam merangka memorandum itu ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Persatuan Pengguna Pulau Pinang ( CAP), Alumni Belia 4B, Persatuan Penduduk Tanjung Bunga, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan lain-lain.
Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd. Yussof Latif berkata, keprihatinan serta campur tangan Dr. Mahathir diperlukan memandangkan kerajaan negeri seolah-olah tidak mahu mendengar suara rakyat dan tetap mahu meneruskan projek berkenaan walaupun menerima bantahan pelbagai pihak.
“Memorandum ini sedang disediakan hasil perbincangan dengan 45 NGO terlibat dan ia akan diserahkan secepat mungkin kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
“Kita yakin Dr. Mahathir akan memberikan tumpuan yang serius terhadap memorandum ini kerana beliau amat prihatin dengan masalah rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pemenang di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan PSR seluas 1,800 hektar bagi membentuk tiga buah pulau buatan yang akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) termasuk terowong dasar laut dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).
Bagaimanapun, projek tersebut mendapat bantahan pelbagai pihak kerana menjejaskan alam sekitar serta mata pencarian nelayan di negeri ini serta kawasan Utara Perak. – UTUSAN ONLINE











