PULAU PINANG 23 Mei – Polis negeri ini berjaya menumpaskan dua sindiket dadah dalam beberapa serbuan minggu lalu membabitkan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM510,820.
Rampasan dadah jenis syabu dan ketamin serta pil Eramin 5 dan pil ekstasi itu dibuat anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ibu pejabat polis negeri dan polis Daerah Timur Laut.
Dalam operasi sama, seramai tujuh lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 51 tahun dengan beberapa daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau turut ditahan.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran, dalam operasi pertama di Jelutong di sini, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dan merampas dadah disyaki syabu seberat 4.14 kilogram (kg).
Katanya, selain dadah bernilai RM207,000 itu, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda CRV bernilai kira-kira RM40,000 daripada suspek.
Sementara itu, tambah beliau, dalam operasi kedua pada pukul 1 petang 19 Mei hingga pukul 2.30 pagi kelmarin, polis berjaya menahan enam lelaki anggota satu sindiket dalam serbuan di empat lokasi di Tanjung Tokong dan Jelutong di sini.
Dalam serbuan itu, ujarnya, pihaknya merampas kira-kira 1.05 kg dadah disyaki syabu bernilai RM156,900; 8,400 biji pil Eramin 5 (RM126,000); 444 biji pil ekstasi (RM13,320) dan 50.75 gram ketamin (RM7,600).
“Selain itu, dalam operasi kedua ini, kita turut menyita empat buah kenderaan masing-masing sebuah kereta jenis Honda Civic; Proton Satria; Perodua Alza dan sebuah motosikal Yamaha 135 LC dengan nilai keseluruhan kira-kira RM104,300.
“Turut disita adalah wang tunai RM16,000, barang kemas bernilai kira-kira RM9,655 dan akaun bank sebanyak RM7,250,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Narenasagaran, siasatan awal mendapati kedua-dua sindiket itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan baru beroperasi kira-kira dua bulan lalu.
Katanya, sebahagian dadah itu dibungkus di dalam pek teh Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan pihaknya kini sedang menyiasat sumber dadah berkenaan dan bagaimana ia mahu dijual kepada pelanggan di pasaran tempatan.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman antara enam sehingga tujuh hari bermula 18 Mei lalu hingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











