120 ahli KMJ, 5 Exco meriahkan majlis buka puasa - Utusan Malaysia

120 ahli KMJ, 5 Exco meriahkan majlis buka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 12 Mei – Kira-kira 120 ahli Kelab Media Johor (KMJ) termasuk lima Exco kerajaan negeri memeriahkan majlis berbuka puasa di Rumah KMJ, Jalan Wisata di sini sebentar tadi.

Program tahunan anjuran KMJ itu bukan sahaja dihadiri ahli kelab tetapi juga ahli keluarga termasuk bukan Islam dalam usaha merapatkan hubungan dan mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan pengamal media di negeri ini.

Yang hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd. Solihan Badri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Cheng Choon serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kaiat.

Mohd. Khuzzan ketika ditemui berkata, pihaknya berharap dapat terus bekerjasama dengan pihak media di negeri ini dalam menyalurkan maklumat kepada orang awam terutama dalam menghebahkan aktiviti adan program di bawah portfolionya.

“Sebarang maklumat yang cepat dan tepat akan terus disalurkan kepada pihak media di negeri ini bagi memastikan rakyat mendapat sebarang maklumat yang sahih dan tidak mengelirukan,” katanya.

Sementara itu Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, Ramadan terutama penganjuran majlis tersebut menjadi penghubung dan pengikat kepada pengamal media di negeri ini selain dapat memuliakan Ramadan.

Beliau berkata, selain penganjuran program berbuka puasa, KMJ meneruskan akviti Ramadannya dengan mengadakan Program Singgah Sahur KMJ 2019 pada esok malam di empat destinasi dengan memberikan juadah sahur untuk petugas pasukan keselamatan dan perubatan di negeri ini.

“Program ini bermula pukul 12.30 tengah malam esok bermula di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sebelum ke Hospital Pakar KPJ Puteri seterusnya Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan berakhir di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dijangka program ini yang juga diadakan secara tahunan akan berakhir kira-kira pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini