KUALA LUMPUR 3 Mei – Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini akan dibanjiri lima hingga 10 ribu manusia sempena Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan, esok.
Itu jangkaan penganjurnya, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mahu perhimpunan itu menjadi laungan amaran buat pihak yang tidak senang dengan peruntukan-peruntukan yang telah digariskan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad berkata, kira-kira 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dua parti politik iaitu Pas dan UMNO telah menyuarakan komitmen menyertai dan mengerahkan ahli ke perhimpunan tersebut.
“Kami jangkakan kehadiran sekadar memenuhi Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar lima ke 10 ribu orang.
“Saya menjemput semua parti politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang untuk bersama dalam perhimpunan esok kerana ia bukan perhimpunan politik, sebaliknya perhimpunan penyatuan ummah untuk mempertahankan hak kita seperti mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Pusat Beli-Belah Sogo, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya. – UTUSAN ONLINE











