PUTRAJAYA 23 Mei – Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi satu memorandum mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.
Gesaan itu dibuat oleh 10 NGO terlibat antaranya Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Majlis Bendahara Malaysia (MBM) dan Amanah Rasah Cekal (ARC).
Lima pertubuhah lagi adalah Refomis Amanah Rakyat Malaysia (Refomis), Persatuan Kebajikan Muslim Malaysia (MIM), Persatuan Badan Kebajikan Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur dan Selangor (Pebaktim), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas) dan Kita Pilih Damai dan Perpaduan (Kidipap).
Menurut jurucakap kumpulan NGO itu, Abdul Rani Kulup Abdullah, mereka juga memohon kepada kerajaan agar memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah agama.
“Kami ambil cadangan ini menerusi saranan yang pernah dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada baru-baru ini.
“Adalah diharapkan agar kerajaan untuk memperhalusi cadangan kami ini sejajar usaha memperkukuhkan hubungan perpaduan di samping mewujudkan suasana harmoni di dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Rani bersama wakil-wakil NGO itu menyerahkan memorandum sokongan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung kenyataannya mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan.
Pada masa sama, beliau berkata, selain menyokong penuh kenyataan Maszlee itu, Menteri Pendidikan berkenaan tidak perlu memohon maaf atau meletakkan jawatan seperti dibuat oleh beberapa pihak termasuk DAP.
“Apa dinyatakan Maszlee adalah berdasarkan fakta yang benar dan kukuh. Melalui perubahan sistem matrikulasi dan sebagainya ia akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan lepasan bumiputera, malah mereka akan dipinggirkan akibat tidak boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin,” katanya.-UTUSAN ONLINE











