Yadim ajak masyarakat kekalkan keharmonian - Utusan Malaysia

Yadim ajak masyarakat kekalkan keharmonian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 23 April – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru masyarakat untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian sedia ada di negara ini.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar terhadap kejadian pengeboman tempat ibadah di Sri Lanka, semalam sehingga mengorbankan hampir 300 orang.

“Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, perbuatan ganas melucutkan nyawa seseorang secara individu atau kumpulan khususnya orang awam yang tidak berdosa harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh umat Islam, sebagaimana digariskan dalam maqasid syariah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Islam sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni, amat menitikberatkan persoalan nyawa seseorang dan atas apa alasan sekalipun, keganasan tetap dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lapan siri letupan menggegarkan beberapa lokasi di Sri Lanka kelmarin menyebabkan kemusnahan pada beberapa hotel dan gereja dengan 290 orang maut manakala lebih 500 yang lain cedera.

Nik Omar berkata, kejadian tersebut melambangkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar dan golongan berkenaan sebenarnya terpengaruh dengan fahaman ekstrem.

Masyarakat katanya tidak dapat menerima sebarang alasan untuk menghalalkan pembunuhan, lebih- lebih lagi atas nama agama.

“Masyarakat dunia akan terus membuat penilaian bahawa ada manusia sanggup melakukan apa sahaja, hatta membunuh sekali pun, jika pertimbangan kemanusiaan dalam dirinya sudah hilang.

“Oleh yang demikian, Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan hidup bermasyarakat,” katanya.

Justeru sebagai sebuah badan dakwah katanya, Yadim akan terus progresif menganjurkan progam bagi memupuk rasa kasih sayang dalam pelbagai masyarakat majmuk berkonsepkan prinsip rahmatan lil ‘alamin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini