[VIDEO] Mutiara Kayamas sahkan 44 pekerja terlibat kemalangan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Mutiara Kayamas sahkan 44 pekerja terlibat kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn. Bhd. mengesahkan 44 mangsa termasuk pemandu bas yang terbabit dalam kejadian bas pekerja yang terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) dekat Sepang merupakan pekerja syarikat berkenaan.

Pegawai Sumber Manusia syarikat tersebut, Nur Nadiah Wahab berkata, daripada jumlah keseluruhan, seramai 16 orang mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya termasuk seorang warga Nepal yang meninggal dunia selepas menerima rawatan.

Jelasnya, baki mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak syarikat akan menghulurkan bantuan kepada pekerja yang terselamat dalam kemalangan. Setakat ini, kami biarkan mereka berehat dahulu.

“Selain itu, syarikat juga akan melakukan proses penghantaran pulang mayat mangsa ke negara masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Online di Hospital Putrajaya mendapati tujuh daripada 15 mangsa yang cedera dibenarkan keluar oleh pihak hospital dengan menaiki tiga kenderaan.

Difahamkan, mereka dibawa ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Bagaimanapun, usaha pemberita untuk bertemu mangsa tidak berhasil ekoran mereka dikawal oleh wakil syarikat berkenaan. 

Kosmo! Online hari ini melaporkan, kejadian pada pukul 11.10 malam tadi mengorbankan lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, dua lagi penumpang warga asing turut disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

Bagaimanapun, punca nahas masih dalam siasatan.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini