KOTA TINGGI 22 April – Sekumpulan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menabur bakti dengan memasang panel solar di kawasan perkuburan di Kampung Rantau Panjang di sini bagi memudahkan penduduk menguruskan jenazah pada waktu malam.
Penasihat program Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains (Fizik) UTM, Dr Muhammad Safwan Abd. Aziz berkata, pemasangan sistem solar itu dibuat menerusi program Kemajuan Sains dan Teknologi Dalam Masyarakat yang diadakan di kampung itu.
Menurutnya, program itu bertujuan membantu masyarakat dengan menerapkan konsep sains dan teknologi yang dipelajari mahasiswa di universiti dalam menyelasaikan masalah dihadapi penduduk kampung itu.
“Kami membawa teknologi pencahayaan dan dipasang di kawasan perkuburan kerana tiada sumber elektrik tetap di sana disamping penduduk kampung menghadapi masalah untuk menguruskan jenazah pada waktu malam.
“Jika ada berlaku kematian di petang hari, mereka akan menunggu hari esok untuk urusan pengebumian kerana kekangan yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penghulu Mukim Ulu Sungai Johor, Tok Azmir Mad Razuki, Wakil Forest City, Khairil Ahmad Kamil Ahmad dan Ketua Kampung Rantau Panjang, Mohd. Khairul Mohd. Johor.
Seramai 55 penuntut UTM dibantu oleh pelajar Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin dan Madrasah Tahfiz Ar Rayyan menyertai program itu.
Muhammad Safwan berkata, penduduk kampung juga didedahkan mengenai teknologi tenaga boleh diperbaharui menerusi sumber matahari dan cara penyelenggaran yang betul menggunakan solar itu.
“Sebanyak lima unit led solar (60 W), dua unit ‘spotlight’ solar (100 W) dan dua unit led solar (10 W) diperuntukkan untuk menerangi kawasan kubur,” katanya.
Sementara itu, pemaju projek Forest City, Country Garden Pacific View (CGPV) menerusi kenyataan berkata, pihaknya menyumbang sejumlah peruntukan dalam membantu usaha penuntut UTM itu melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat di situ.
“Tiga teras utama inisiatif CSR CGPV ialah pembangunan pendidikan dan belia, pembangunan masyarakat serta kesedaran alam sekitar dan aktiviti dijalankan penuntut UTM itu merangkumi semua teras kami,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











