SYARIKAT telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) mencatat kejayaan tersendiri selepas aplikasi MyDigi mencapai tiga juta pengguna aktif sebulan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.
Aplikasi MyDigi adalah platform sehenti untuk pelanggan menguruskan akaun mereka dan menikmati ganjaran eksklusif serta tawaran hebat daripada Digi.
Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, aplikasi MyDigi adalah contoh baik yang memperlihatkan usaha Digi dalam mendengar kehendak para pelanggan dan berusaha untuk menyediakan penyelesaian yang dapat memberi mereka lebih kawalan terhadap gaya hidup digital.
“Aplikasi ini membolehkan pelanggan menguruskan akaun Digi mereka dengan mudah dan pada masa sama diberi ganjaran serta pelbagai tawaran menarik.
“Sambutan sempena pencapaian tiga juta pengguna ini merupakan cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna aplikasi MyDigi dan pelanggan kami atas sokongan berterusan mereka selama ini,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, sempena meraikan pencapaian berkenaan, Digi menawarkan dua unit telefon pintar Oppo Lamborghini edisi terhad kepada dua pelanggan teratas dengan pembelian tertinggi di aplikasi MyDigi hingga 30 April 2019. Untuk melayakkan diri meraih tawaran ini, pelanggan hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM3 untuk ganjaran atau tawaran terlaris iaitu pas sehari berharga RM3 untuk 3GB data.
Naik taraf
Sementara itu, Ketua Telco Digi, How Lih Ren memberitahu, aplikasi MyDigi kini telah dinaik taraf dengan ciri-ciri yang mampu memberi penyelesaian yang lebih baik, pantas dan mudah untuk meningkatkan pengalaman digital pelanggan.
“Kami sentiasa mencari jalan untuk menambah baik aplikasi MyDigi dalam usaha memberikan pengalaman digital yang lebih relevan dan lancar untuk pelanggan kami.
“Penambahbaikan dan ciri-ciri baharu dalam aplikasi ini direka khas bagi memenuhi keperluan pelanggan dengan membawakan perkhidmatan digital yang relevan untuk memperkaya lagi kehidupan mereka,” ujarnya.
Aplikasi mudah alih MyDigi itu menyasarkan peningkatan pengalaman pelanggan dengan kehadiran sistem log masuk yang selamat.
Pelbagai ciri yang sempurna dan navigasi pantas turut diperkenalkan untuk kemudahan serta tempoh balasan yang lebih cepat.
Bukan itu sahaja, penambahbaikan lain turut merangkumi ciri keselamatan.
Pelanggan diminta untuk mendaftar dengan kata laluan dan nombor telefon bimbit mereka akan mendapat perlindungan yang lebih baik.
Pelanggan akan menerima tawaran yang diperibadikan dalam Box of Surprises dan MyDigi Rewards di bawah tab Deals.
Tawaran ini memberikan pengalaman yang bersesuaian dengan corak pembelian dan pilihan pelanggan menerusi lebih daripada 500 jenama serta rakan kongsi merentasi 7,000 lokasi di seluruh negara.











