SHAH ALAM – Tindakan berani satu sindiket pengedaran dadah menjadikan kawasan awam sebagai lokasi transaksi jual beli dadah sejak setahun lalu berakhir selepas lima individu diberkas Khamis lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, dekat sini kira-kira pukul 2 petang lalu merampas dadah jenis syabu seberat 5.07 kilogram bernilai RM355, 250.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketika serbuan dilakukan dua lelaki bersama tiga wanita berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun itu sedang melakukan transaksi jual beli dadah di dalam kereta terbabit.
“Daripada lima yang ditahan, empat adalah ahli sindiket, manakala seorang lagi pembeli bahan terlarang itu. Siasatan awal mendapati sindiket ini bergiat aktif di empat buah negeri iaitu Johor, Melaka, Kuala Lumpur dan negeri ini.
“Kita percaya dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran Lembah Klang dan bekalannya diperolehi dari negeri Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Azam berkata, siasatan lanjut mendapati, sindiket berkenaan telah bergiat aktif hampir setahun yang lalu dan melakukan transaksi jual beli dadah di tempat awam seperti bangunan kedai.
Menurutnya, selain menjadi ahli sindiket dadah suspek yang ditahan itu juga sebagai jurukimpal, tukang jahit, mekanik, jurujual dan penganggur.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, salah seorang suspek lelaki mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan curi. Dua suspek juga turut positif dadah.
“Kesemua suspek yang juga warga tempatan itu kini direman sehingga Rabu ini (esok) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga merampas beberapa barangan milik kesemua suspek antaranya tiga buah kereta jenis Nissan Teena, Perodua Kembara dan Honda City.
“Selain itu, turut dirampas lima jenis barang kemas bernilai RM10,000, sitaan akaun kira-kira RM650,000 serta rampasan wang tunai RM7,400.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM770,400,”jelasnya. – K! ONLINE











