Simpan impian miliki syarikat pengedar kereta - Utusan Malaysia

Simpan impian miliki syarikat pengedar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN masih di usia muda, namun Nur Fatahani Syuhada Fadzir mempunyai impian besar untuk memiliki syarikat pengedar kereta suatu hari nanti.

Untuk merealisasikan impian tersebut, gadis berusia 22 tahun berasal dari Jitra, Kedah ini perlu berusaha keras dan mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang tersebut.

Begitu ujar gadis yang bekerja sebagai jurujual kereta jenis Ford Ranger sejak setahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harapan untuk memiliki syarikat sendiri menjadi motivasi terbaik untuk dia terlebih dahulu berjaya dalam pekerjaannya sekarang.

 

Graduan Diploma Pengurusan Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani itu memberitahu, bekerja sebagai jurujual kereta memerlukan kemahiran komunikasi yang tinggi khususnya apabila berhadapan dengan pelanggan.

“Masa mula-mula kerja dahulu agak susah namun setiap hari yang berlalu itu adalah proses pembelajaran untuk saya. Makin lama selepas menempuh pelbagai cabaran ia mematangkan saya dalam bidang ini.

“Insya-Allah, impian saya adalah untuk memiliki syarikat pengedar kereta sendiri dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang. Untuk mencapai impian itu bukan mudah sebaliknya memerlukan usaha dan pengorbanan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambahnya, selain mempunyai kemahiran komunikasi, dia juga perlu bijak mengurus masa dan mengatur kerja dengan baik apabila memilih untuk bergelar jurujual kereta ini.

“Maksudnya, kita perlu bijak mengatur masa bertemu pelanggan dan untuk berurusan dengan pihak bank dalam urusan pinjaman pembelian kereta itu. Jika masa tidak teratur, kita sendiri akan penat,” katanya.

Sementara itu, Fatahani berkata, dia perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi membantu keluarga selepas kehilangan bapa yang meninggal dunia akibat masalah jantung lima tahun lalu.

“Keluarga adalah sumber kekuatan saya untuk terus berusaha dalam apa jua bidang yang diceburi,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini