KUALA LUMPUR 5 April – Segmen hiburan selama satu jam yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online, Busking Bersama Buskers kembali pada pukul 5 petang nanti.
Busking Bersama Buskers yang membawakan pengisian hiburan petang santai di hari Jumaat, dua minggu sekali, hari ini telah mengundang kumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai Shuuna.
Agak pelik nama Shuuna namun mereka mempunyai alasan mengapa kumpulan mereka yang lebih banyak mendapat undangan persembahan gig dan majlis perkahwinan, menggunakan nama Shuuna untuk dikenali.
Walaupun Shuuna menyediakan 10 buah lagu (kurang lebih) untuk menghiburkan para penonton Busking Bersama Buskers, mereka juga akan ditemu bual secara santai oleh hos, Apak untuk mengetahui lebih lanjut tentang kumpulan ini.
“Ini kali pertama kami mengadakan persembahan di Panggung Utusan, Ibu Pejabat Kumpulan Utusan (M) Bhd., untuk segmen Busking Bersama Buskers.
“Ini adalah peluang yang tidak harus disia-siakan apabila ditawarkan untuk tampil mengadakan persembahan kerana platform yang disediakan oleh Utusan Online akan membuatkan kami lebih dikenali selepas ini. Insya-Allah,” kata Ku Mirul Ku Amir, salah seorang anggota dalam kumpulan Shuuna.
Shuuna diketuai oleh Dr. Mujahid Husni atau lebih dikenali dengan panggilan Moja.
Kepada anda yang ingin menonton Busking Bersama Buskers secara live petang ini, jangan lupa daftar masuk ke page Facebook Utusan Online, like dan on notification. Selamat berhibur. – UTUSAN ONLINE











