KOTA TINGGI 4 April – Seorang daripada tiga pelajar yang maut dalam kemalangan di Bandar Penawar semalam, Muhammad Syafawi Zayadi, 17, menunjukkan perubahan sikap daripada periang menjadi seorang pendiam secara tiba-tiba.
Petanda itu disedari bapanya, Zayadi Mohamad, 46, kerana Muhammad Syafawi yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sebelum ini tidak berkelakuan seperti itu.
“Dia seorang yang rajin, periang, suka buat kami senang serta tidak menyusahkan keluarga apabila hendak sesuatu sebab dia akan berusaha sendiri, cari duit sendiri dengan membantu ayah rakannya berniaga air di pasar malam.

“Namun dalam dua tiga hari ini Muhammad Syafawi suka menyendiri, tidak banyak cakap serta dua tiga hari ini juga dia memeluk saya dan saya rasa pelukan itu saya rasa penuh rasa kasih sayang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng Timur di sini sebentar tadi.
Zayadi berkata, kenangan itu merupakan memori yang paling diingatinya namun reda dengan ketentuan Ilahi yang terlebih dahulu menjemput putera kesayangannya itu.

Muhammad Syafawi merupakan seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di laluan Kota Tinggi-Bandar Penawar berhampiran Simpang Felda Lok Heng di sini pukul 6.31 petang semalam.
Kejadian itu mengorbankan Muhammad Syafawi serta dua rakannya, Mohamad Noriman Bastamam, 17, dan Daing Mohammad Afeeq Mohd. Ateeq-ur Rahman, 16, yang menaiki kereta Proton Wira.
Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala guru pengiring mereka yang juga pemandu kereta Proton Wira, Widyawati Simarani, 46, patah kaki serta pemandu Perodua Myvi, Naziha Aqmaliah Mazlan, 24, turut cedera. – UTUSAN ONLINE











