Saksi 4 kemalangan berasingan diminta tampil salur maklumat - Utusan Malaysia

Saksi 4 kemalangan berasingan diminta tampil salur maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung empat kemalangan berasingan pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Timbalan Ketua JSPT Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kesemua kemalangan tersebut melibatkan kematian empat individu dan berlaku di sekitar Petaling Jaya.

“Kes pertama berlaku pada 8 November tahun lalu melibatkan seorang penunggang motosikal, Azwan Ahmad Dahalan, 23, maut dalam kemalangan di Kilometer 16.8 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara dari Klang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa dipercayai dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti sehingga terbabas dan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sahimi, kemalangan kedua pula berlaku pada 2 Disember lalu yang turut mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal warga Indonesia, Mohd. Mofid Muarif, 35, yang dipercayai terbabas sendiri di Kilometer 457.3 Lebuhraya Utara Selatan.

“Kemalangan ketiga berlaku pada 8 Disember tahun lalu di persimpangan Persiaran Sungai Buloh – Kota Damansara membabitkan motosikal Honda EX5 dengan kereta Perodua Myvi yang menyebabkan penunggangnya, Ishak Mat, 61, maut di lokasi.

“Kes terakhir, melibatkan seorang penunggang motosikal, Mohammad Firdaus Mohammad Azni, 16, yang maut selepas terbabas sendiri ketika cuba mengelak sebuah kereta Proton Saga di Jalan 51A/219 dekat Lebuhraya Persekutuan pada 10 Januari lalu,” jelasnya.

Tambah Sahimi, orang ramai atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keempat-empat kejadian itu agar dapat tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini