KANGAR 7 April – Niatnya ingin membantu menangkap ular tedung selar yang memasuki rumah seorang penduduk, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dipatuk ketika cuba menjinakkan reptilia tersebut dalam kejadian di Kampung Belukar, Abi di sini semalam.
Akibat kejadian itu, Azri Ahmad, 50, yang merupakan seorang penangkap ular, kini tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Siti Hawa Mahamad, 45, berkata, suaminya yang juga dikenali ‘Raja Ular’ diminta oleh penduduk kampung untuk menangkap seekor ular tedung selar yang memasuki sebuah rumah kira-kira pukul 1 tengah hari.
Walau bagaimanapun, ujarnya, ketika Azri cuba memasukkan ular tersebut ke dalam karung, reptilia berkenaan sempat mematuknya.
“Pada mulanya saya ingat dia hanya cedera ringan, dia juga memaklumkan mengalami sedikit luka mungkin terkena taring ular ketika cuba mengurung ular itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Siti Hawa, selepas kejadian, mereka berdua pulang ke rumah sebelum dia meminta suaminya mendapatkan rawatan di hospital.
“Selepas mandi, saya lihat muka suami menjadi pucat. Saya minta dia ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Suami masih boleh memandu kereta dan saya menemaninya ke hospital.
“Selepas mendapatkan pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa suami perlu ditahan di unit kecemasan kerana bimbang bisa ular akan merebak ke seluruh badan,” katanya.
Tambah Siti Hawa, selepas menerima rawatan, suaminya terus tidak sedarkan diri dan kini masih dijaga rapi di unit kecemasan di HTF.
“Saya berharap dan berdoa agar suami kembali sedar serta pulih seperti biasa,” katanya.











