SAUDARA PENGARANG,
SELARI dengan teras Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang mahukan pembelajaran berbentuk simulasi dan realiti maya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor mengorak langkah dengan memulakan perubahan dalam bidang pelaburan. UiTM Johor telah mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Simulasi Saham yang merupakan platform terbaik berbentuk simulasi realiti maya bagi mendedahkan dan melatih pelajar-pelajar dengan ilmu pasaran ekuiti menggunakan teknologi sebenar di pasaran ekuiti. Ia sekali gus memberi pengalaman kepada pelajar dalam proses memperoleh ilmu dan kemahiran.
Bagi menubuhkan pusat ini, penglibatan kepakaran pihak industri amat diperlukan. Justeru pihak universiti memilih CIMB Investment Bank (CIMB) sebagai rakan industri yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang pelaburan. Hubungan strategik antara kedua-dua pihak ini dimeterai dengan CIMB menyediakan simulasi platform pelaburan untuk kegunaan pelajar-pelajar dan latihan kepada pensyarah. Kolaborasi ini merupakan projek pertama di Malaysia dalam usaha menyediakan suasana pelaburan saham sebenar di dalam universiti. Dengan adanya pusat ini, pembelajaran alaf baharu dapat dipraktikkan. Pelajar tidak hanya belajar berteraskan peperiksaan semata-mata, mereka akan mendapat ilmu secara hands-on.
Pelajar yang mengikutinya boleh menjadi graduan kebolehlenturan kognitif yang mampu menyelesaikan masalah kompleks secara agresif dan holistik. Mereka akan dilengkapi kemahiran dan teknik pelaburan sebenar kerana telah dilatih menggunakan simulasi yang digunakan dalam industri pelaburan sekali gus mendorong mereka bijak membuat strategi baik dan tepat. Pengalaman ini sangat berharga kerana mereka dapat menimba ilmu sebagai pelabur dan pedagang saham semasa di universiti lagi.
SYAMSYUL SAMSUDIN
Pensyarah Kanan
(Kewangan dan Pelaburan)
UiTM Johor











